UTHM Budayakan Amalan Wakaf: Penganjuran Seminar Rancak Aktiviti Jana Ekonomi

Dr Nooh (empat dari kanan) menyempurnakan pelancaran dua produk wakaf baharu UTHM iaitu Wakaf Harta Intelek dan Wakaf Khidmat Perundingan Profesional di Kampus Induk UTHM di Batu Pahat, baru-baru ini.

Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) komited mengetengahkan budaya wakaf dalam kalangan masyarakat melalui penganjuran seminar ‘Munaqasah Ilmu Pengurusan Wakaf Institusi Pendidikan’ yang diadakan di sini, baru-baru ini. Program itu membabitkan kerjasama Pusat Endowmen dan Wakaf UTHM, Jabatan Wakaf dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri serta Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan Penasihat Wakaf UTHM merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr Nooh Gadot. Nooh berkata, UTHM melaksanakan program Wakaf Tunai Pendidikan sejak 2017 hingga kini, di mana dana terkumpul itu dimanfaatkan bagi aktiviti serta kebajikan pelajar.

“Dana wakaf yang terkumpul akan diagihkan kepada pelajar melalui pembayaran biasiswa, bantuan kewangan, bayaran yuran serta aktiviti kebajikan seperti penyelidikan dan pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis itu. Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Jaafar Ismail.

Penganjuran seminar itu bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan kepada institusi pendidikan khususnya di Johor dan Melaka untuk melaksana wakaf serta merancakkan lagi aktiviti pendidikan berasaskan wakaf. Pada masa sama, bagi menggalakkan institusi pendidikan terbabit menjana ekonomi melalui aktiviti wakaf, sekali gus mengurangkan kebergantungan dana daripada kerajaan.

Seramai empat panel membentangkan kertas kerja masing-masing merangkumi pelbagai tajuk berkaitan pengurusan wakaf institusi pendidikan, berpandukan model panduan pengurusan wakaf di dalam dan luar negara. Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Penasihat Wakaf UTHM, Prof Dr Ismail Omar, Pegawai Syariah Pusat Endowmen dan Wakaf UTHM, Mustapahayuddin Abdul Khalim, Pengarah Wakaf serta Endowmen UTHM, Prof Sr Dr Wan Zahari Wan Yusoff dan Pegawai Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurliman Ibrahim.

"Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan kebaikan baginya Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya".

(Q.S. Asy Syuura: 23)

@Pusat Wakaf dan Endowmen
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2018.
Hak cipta terpelihara.

HUBUNGI KAMI
Pusat Wakaf dan Endowmen

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 
86400 Parit Raja,
Batu Pahat, Johor.
07 - 4538586 
07 - 4536051
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.