Aluan Pengarah
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Salam Sejahtera.
بسم الله الرحمن الرحيم
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَاٰلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ
Setinggi-tinggi kesyukuran dipohon kehadrat Ilahi diatas limpahan rahmat dan nikmatNya, dikala dunia sedang bangkit daripada bencana pandemik Covid-19 namun begitu kelangsungan aktiviti kehidupan tetap diteruskan dan amanah yang diberikan hendaklah dilaksanakan.
Sebagaimana kita maklum bahawa dasar Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang dizahirkan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara , bahawa setiap Universiti Awam secara dinamiknya perlu menjana pendapatan bagi menampung sebahagian dari kos operasi mengurus & pembangunan fizikal universiti. Antara kaedah yang diamalkan oleh universiti-universiti terkemuka antaranya penjanaan pendapatan melalui Skim Wakaf dan Endowmen.
Pusat Wakaf dan Endowmen UTHM ditubuhkan pada 01 Ogos 2017 dan ditauliahkan sebagai Nazir Khas oleh Majlis Agama Islam Johor pada 26 Januari 2017 bersamaan 27 Rabiul Akhir 1438H diberi tanggungjawab menguruskan dana wakaf hasil sumbangan dan infak oleh warga universiti, masyarakat setempat dan badan-badan korporat ataupun individu, serta diagihkan kepada yang layak terdiri dari warga UTHM dan komuniti setempat.
Pusat ini juga diberikan amanah dan bertanggungjawab dalam menguruskan dana endownmen (sumbangan) melalui wang tunai ataupun yang berbentuk Inkind ( contohnya bangunan, peralatan P&P, infrastruktur @ fasiliti) yang sama peranannya untuk membantu pembangunan universiti melalui R&D dan kebajikan pelajar.
Lahirnya Dana Wakaf Tunai Pendidikan (DWTP) di UTHM berlandaskan syariah dengan konsep Wakaf Am melalui skim Wakaf Tunai Pendidikan dengan kaedah tunai mahupun dengan potongan gaji bulanan. Bezanya wakaf dengan endownmen dari segi syarat sah rukun dan lafaz yang wajib dilafazkan oleh pewakaf secara lisan dihadiahkan kepada diri sendiri, ahli keluarga mahupun kepada ibu bapa kita sendiri. Manakala endowmen sifatnya sebagai nilai murni yang terpuji atau sebagai salah satu ibadah sebagai sadaqah yang tidak terikat dengan syarat, apa yang penting ikhlas.
Sesungguhnya, Allah SWT sangat menggalakan hambaNya berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah, sepertimana firmanNya ;
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
“Maka berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebajikan” ( Surah Al Baqarah-Ayat 148)
Ayat diatas ditasdiqkan dengan firmanNya dalam Q.S : Al-Munafiqun : 10 ;
وَاَنْفِقُوْا مِنْ مَّا رَزَقْنٰكُمْ مِّنْ قَبْلِ اَنْ يَّأْتِيَ اَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُوْلَ رَبِّ لَوْلَآ اَخَّرْتَنِيْٓ اِلٰٓى اَجَلٍ قَرِيْبٍۚ فَاَصَّدَّقَ وَاَكُنْ مِّنَ الصّٰلِحِيْنَ
‘ Dan dibelanjakanlah ( dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu “ Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau melambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, agar aku dapat bersedekah dan dapat menjadi orang-orang saleh.”
Awal tahun 2023. Pusat Wakaf & Endowmen telah melancarkan 3 projek khas wakaf iaitu Wakaf Air melalui mesin dispenser untuk kegunaan pelajar kolej UTHM, dengan kos anggaran RM 183,600, sebuah Van Jenazah dengan kos RM 135,000 dan projek khas wakaf berimpak tinggi, pembinaan Bangunan Akademia Al-wasit sebagai bangunan gunasama untuk pengajian ilmu dan fasiliti lengkap untuk memenuhi keperluan bagi tujuan perkongsian ilmu melalui seminar/ simposium, bengkel, mesyuarat atau aktiviti sosial yang dapat memberikan pulangan dalam penjanaan Tabung. Begitu juga projek Endowmen lebih difokuskan kepada kebajikan pelajar iaitu Skim Galakan Projek Tahun Akhir & Pertandingan dan Bantuan Peranti kepada pelajar Asnaf dan B40. Warga UTHM dan para pengunjung laman web PWE amat dialu-alukan untuk melabur Skim Pelaburan Akhirat tanpa risiko dijamin oleh Allah SWT.
Akhir kata, dalam kesempatan ini saya ingin menyeru dengan menghayati dan muhasabah diri kita dengan petikan ayat di atas. Kita diberikan nikmat rezeki yang sudah termaktub dariNya dengan limpahan pendapatan yang melimpah, pangkat dan gelaran yang disandang, kenderaan yang hebat, rumah yang selesa, keluarga dan anak-anak yang membahagiakan namun untuk kita berkorban menginfakkan sebahagian harta yang disayangi terlalu berkira-kira dalam skim pelaburan akhirat demi memakmurkan ummah. Kita amat takut harta kita dikongsikan ke jalan Allah menyebabkan hati ditiup was–was dengan bayangan harta berkurangan & jatuh miskin. Gunakanlah peluang ini sementara kesempatan diberikan sehingga kita kembali kepadaNya. Jom berwaqaf & memberi sumbangan. Marilah hulurkan sumbangan demi pembangunan dan kebajikan warga UTHM / Ummah. Semoga tuan/puan dibukakan hati untuk menjadi pewakaf & penyumbang demi ummah.
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Sekian, terima kasih.
Salam Malaysia Madani.
- Last updated on .